PS155: HEALING BOX

AKIF EZZEDDIN BIN NAZUAN SK TG PUTERI RESORT

INEX26 | Primary School

CR: nan | 0 Likes | 0 Views | 5 times | LS: 5.0
Like it? | Support them now!

 

HEALING BOX merupakan satu inovasi intervensi emosi yang dibangunkan bagi membantu murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) mengurus emosi secara kendiri dan lebih sistematik semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Inovasi ini tercetus hasil pemerhatian terhadap murid yang sering menunjukkan tingkah laku seperti menangis, marah, menjerit,  sukar fokus serta mengalami gangguan emosi yang menghalang penglibatan aktif dalam kelas. Keadaan ini turut memberi kesan kepada pengurusan bilik darjah dan kelancaran PdP guru.

Inovasi ini menggunakan pendekatan regulasi emosi berasaskan sensori melalui tiga kategori utama iaitu Kotak Sedih, Kotak Marah,  dan Kotak Cemas/Takut. Setiap kotak mengandungi bahan terapi yang mudah diperoleh seperti stress ball, Pop It, fidget toy, doh permainan, kain lembut, kad pernafasan, earmuff dan botol sensori. Penggunaan healing box dilaksanakan melalui tiga fasa utama, iaitu pengenalpastian emosi, pemilihan kotak intervensi, dan pasca intervensi sebelum murid kembali mengikuti PdP.

Pelaksanaan inovasi ini mendapati murid lebih cepat menenangkan diri, mampu mengurangkan tingkah laku mencabar, meningkatkan fokus pembelajaran serta menunjukkan kesediaan untuk kembali menyertai aktiviti kelas dalam tempoh yang lebih singkat. Selain itu, guru dapat mengendalikan situasi emosi murid dengan lebih terancang, mesra murid dan berkesan tanpa memerlukan kos yang tinggi atau peralatan yang kompleks.

Kesimpulannya, HEALING BOX merupakan satu inovasi yang praktikal, kos rendah, mudah digunakan dan berpotensi diperluaskan penggunaannya di bilik darjah PPKI serta sekolah rendah yang mempunyai murid berkeperluan pendidikan khas. Inovasi ini menyokong pembangunan kemahiran regulasi emosi, kesejahteraan murid dan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan inklusif selaras dengan aspirasi Pendidikan Khas dan Pendidikan Inklusif negara.

Kata kunci: PPKI, regulasi emosi, intervensi emosi, terapi sensori, pendidikan khas