HIDAYATUL ISMA BINTI SUMADIN SK SUNGAI SAMAK
MODEL ‘SALAK’ UNTUK MENINGKATKAN
KEMAHIRAN MEMBINA AYAT BERDASARKAN GAMBAR TUNGGAL
DALAM KALANGAN MURID TAHUN TIGA IBNU SINA
Oleh :
Hidayatul Isma Binti Sumadin
Sekolah Kebangsaan Sungai Samak
ABSTRAK
Penyelidikan tindakan ini dijalankan bertujuan untuk membantu murid meningkatkan kemahiran membina ayat gambar tunggal dengan betul. Kajian ini dijalankan setelah tinjauan awal melalui Ujian Pengesanan Bahasa Melayu tentang kemahiran menulis ayat gambar tunggal dalam kalangan murid tahun tiga kurang memuaskan. Sasaran kajian ini ialah empat orang murid lelaki dan seorang murid perempuan Tahun Tiga Ibnu Sina di sebuah sekolah kebangsaan di daerah Bagan Datuk, Hutan Melintang Perak. Saya telah mengaplikasikan model ‘SALAK’ untuk meningkatkan tahap penguasaan kemahiran membina ayat berdasarkan gambar tunggal dalam kalangan murid tahun tiga dengan menggunakan Model Kurt Lewin (1946). Kaedah pengumpulan data yang digunakan ialah analisis dokumen, ujian dan temu bual. Manakala, instrumen yang digunakan terdiri daripada lembaran kerja, Ujian Awal, Ujian Akhir dan temu bual. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan model ‘SALAK’ memberi kesan positif dalam meningkatkan kemahiran membina ayat berdasarkan gambar tunggal.
Kata kunci: Model ‘SALAK’, Model Kurt Lewin, ayat gambar tunggal, murid tahun tiga