NUR ADANI NABIHAH BINTI ABDULLAH SMK JAWI
Peningkatan suhu persekitaran sekolah boleh menjejaskan keselesaan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, projek CoCurtBreeze dibangunkan sebagai inovasi penyejukan ruang yang mengintegrasikan sabut kelapa sebagai media penyejukan, sistem semburan dan kitar semula air, aliran udara serta tenaga solar. Projek ini bertujuan meneroka potensi bahan buangan sebagai sumber alternatif untuk menghasilkan sistem penyejukan yang lebih lestari. Prototaip dibangunkan menggunakan pendekatan Engineering Design Process (EDP) yang merangkumi proses mengenal pasti masalah, menjana idea, merancang, membina, menguji dan menambah baik reka bentuk. Sistem ini berfungsi dengan mengalirkan air pada sabut kelapa bagi membolehkan proses penyejatan menyerap haba daripada udara. Aliran udara daripada kipas yang diletakkan di bahagian belakang media sabut kelapa lembap mengalirkan udara yang sejuk keluar dari corong botol plastik pada bahagian depan. Air yang tidak tersejat dikumpulkan untuk digunakan semula, manakala tenaga solar dimanfaatkan untuk menyokong operasi komponen elektrik iaitu pam air dan kipas. Hasil pengujian prototaip menunjukkan suhu menurun daripada 33.5°C kepada 27.6°C, iaitu pengurangan sebanyak 5.9°C. Pada masa yang sama, kelembapan udara meningkat daripada 61% kepada 72%, bersamaan peningkatan sebanyak 11 peratus. Dapatan awal ini menunjukkan potensi CoCurtBreeze dalam membantu menurunkan suhu dan meningkatkan kelembapan udara di sekitar prototaip. Projek ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 6 (Air Bersih dan Sanitasi), SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) dan SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim). Selain menghasilkan inovasi berasaskan kelestarian, projek ini membina kemahiran kreativiti, pemikiran kritis, kolaborasi dan penyelesaian masalah dalam kalangan murid. Kesimpulannya, CoCurtBreeze berpotensi menjadi alternatif penyejukan ruang yang menggabungkan inovasi STEM dengan amalan kelestarian dalam komuniti sekolah.