EN. HIDAYAT HILMY BIN TAWFIQ HILMY MAJLIS PERBANDARAN KAJANG
Normalise Legal Premise (NLP) merupakan inovasi proses kerja dan pengurusan yang dihasilkan olek Kumpulan The Tracker, Jabatan Pelesenan dan Penjaja, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi menangani lambakan aktiviti perniagaan tanpa kebenaran dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang. Program ini diperkenalkan pada tahun 2016 dan sentiasa ditambah baik dengan ,atlamat menyediakan pendekatan normalisasi yang lebih sistematik melalui pemberian permit perniagaan sementara kepada aktiviti perniagaan yang memenuhi syarat. Keunikan utama NLP berbanding lesen perniagaan sedia ada ialah pendekatannya yang bersifat "normalisasi" terhadap perniagaan yang telah beroperasi tanpa kebenaran. Berbanding proses pelesenan biasa yang berasaskan permohonan lesen, NLP dimulakan melalui bancian atau inventori aktiviti perniagaan secara menyeluruh, mengenal pasti perniagaan yang beroperasi, menilai kelayakan dan seterusnya menawarkan laluan pematuhan melaui permit perniagaan sementara. Pendekatan ini menggabungkan kawalan, pematuhan dan penyelesaian dalam satu proses berbanding kebergantungan kepada tindakan penguatkuasaan seperti kompaun dan sitaan semata-mata. NLP turut memanfaatkan teknologi sedia ada melaui penggunaan kod imbas, Google form, Google Sheet dan sistem e-Lesen bagi melaksanakan bancian, pengumpulan serta pengurusan data, kecekapan penyampaian perkhidmatan, kepuasan pelanggan serta peningkatan hasil bukan cukai MPKj. Inovasi ini turut merangkumi empat elemen utama iaitu berimpak tinggi, nilai untuk wang, pendigitalan dan kemampanan serta mempunyai potensi untuk direplikasi oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Bandaraya Ipoh, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Seremban.