CHOO ZHUON SHENG SJKC GUNONG RAPAT
Kajian ini dilaksanakan untuk meningkatkan penguasaan kosa kata dalam golongan kata kerja dan kata nama dengan menggunakan Frasa Kerja UNO bagi murid-murid Tahun 5 yang mempunyai masalah dalam penguasaan kosa kata yang terhad. Jeffrey Kihob dan Mahali (2020) menyatakan bahawa murid-murid menyambung ayat dengan perkataan asing kerana penguasaan kosa kata yang terhad. Rusli et al. (2022) menjelaskan bahawa kosa kata yang dipelajari oleh murid-murid masih bergantung pada individu di sekelilingnya terutamanya ibu bapa dan guru-guru. Frasa Kerja UNO terdiri daripada kad kata kerja, kad kata nama dan kad arahan. Kad-kad diterapkan dengan unsur warna dan gambar. Murid-murid dapat mewujudkan pembelajaran kolaboratif dengan permainan Frasa Kerja UNO. Kajian ini dijalankan di SJKC Gunong Rapat dan melibatkan sepuluh orang murid. Tinjauan awal mendapati murid-murid menghadapi masalah dalam pembinaan ayat dan karangan. Mereka sering menggunakan bahasa Cina atau bahasa Inggeris untuk menggantikan kosa kata yang tidak diketahui. Justeru, Frasa Kerja UNO dihasilkan untuk menyelesaikan masalah ini. Data dikumpulkan melalui Ujian Satu dan Ujian Dua. Dapatan kajian telah menunjukkan bahawa peserta kajian berjaya memperoleh peningkatan markah dalam Ujian Dua berbanding dengan Ujian Satu selepas melakukan intervensi. Secara keseluruhannya, dapatan kajian ini membuktikan permainan Frasa Kerja UNO efektif dalam membantu murid-murid menguasai kosa kata yang banyak dalam golongan kata kerja dan kata nama dalam mata pelajaran bahasa Melayu.
Kata kunci: kosa kata, kata kerja, kata nama, Frasa Kerja UNO, SJKC.