PS308: FLIP IT PRO 2.0

KYLA BRENDA LASIUS SEKOLAH KEBANGSAAN BUAYAN

ABSTRAK

Inovasi FLIP IT PRO 2.0 diperkenalkan sebagai satu pendekatan pembelajaran yang kreatif, interaktif dan mudah dilaksanakan bagi membantu murid Tahun 6 menguasai kemahiran mengingat nama agama, ajaran dan kitab berkaitan dalam mata pelajaran Sejarah. Inovasi ini dibangunkan bagi menangani cabaran murid dalam mengingat maklumat yang melibatkan lima agama dan dua ajaran serta nama kitab bagi setiapnya. FLIP IT PRO 2.0 menggabungkan elemen nyanyian dan aktiviti menyuai padankan warna bagi mewujudkan pengalaman pembelajaran yang lebih aktif, menyeronokkan dan bermakna. Kajian ini melibatkan lima orang murid Tahun 6 dari sebuah sekolah di daerah Penampang, Sabah dan menggunakan pendekatan kualitatif berasaskan Model Penyelidikan Tindakan Kemmis dan McTaggart (1986). Data dikumpulkan melalui ujian awal dan ujian akhir, temu bual serta senarai semak, kemudian dianalisis secara deskriptif. Dapatan kajian menunjukkan bahawa penggunaan FLIP IT PRO 2.0 dapat meningkatkan penguasaan dan kemahiran mengingat murid terhadap aspek agama dan ajaran, di samping menyumbang kepada penambahbaikan amalan pedagogi guru. Keistimewaan inovasi ini terletak pada penggunaan kaedah yang ringkas, visual, interaktif dan berpusatkan murid, sekali gus menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih menarik serta membantu murid mengingat maklumat dengan lebih sistematik. Oleh itu, FLIP IT PRO 2.0 berpotensi menjadi alternatif inovatif yang praktikal untuk menyokong pembelajaran Sejarah dan boleh dijadikan rujukan oleh guru dalam memperkaya strategi pedagogi di bilik darjah.

Kata Kunci: FLIP IT PRO 2.0, inovasi pedagogi, kemahiran mengingat, agama dan ajaran, Sejarah