PS124: S.A.M.P.A.I BAND

ANIS SOFIYYA BINTI MUHAMMAD SUHAIL FARIS SK SRI JAMIL

S.A.M.P.A.I. Band merupakan satu inovasi keselamatan murid berasaskan Internet of Things (IoT) yang dibangunkan bagi membantu pengurusan waktu balik sekolah dengan lebih selamat, teratur dan efisien. Projek ini tercetus daripada masalah murid yang menunggu di luar pagar sekolah sebelum ibu bapa tiba, kesesakan kenderaan di kawasan hadapan sekolah, masa menunggu ibu bapa yang panjang serta risiko keselamatan murid ketika bergerak ke kenderaan. Situasi ini menunjukkan keperluan terhadap satu sistem komunikasi yang mudah, pantas dan sesuai digunakan oleh murid sekolah rendah. S.A.M.P.A.I. Band direka sebagai peranti boleh pakai seperti jam tangan yang menggunakan micro:bit sebagai kawalan utama, ReKaBit sebagai papan pengembangan, Grove WiFi sebagai sambungan internet dan aplikasi Blynk/ByLink sebagai medium komunikasi dua hala antara ibu bapa dan murid. Melalui aplikasi telefon pintar, ibu bapa boleh menghantar mesej seperti “Saya sudah sampai”, “Pintu A”, “Pintu B” atau “Tunggu” kepada peranti yang dipakai oleh murid. Murid pula boleh memberi maklum balas seperti “Saya datang” atau menghantar isyarat kecemasan sekiranya tidak sihat atau memerlukan bantuan. Projek ini menyokong SDG 3: Good Health and Well-being kerana memberi tumpuan kepada keselamatan fizikal, kesejahteraan emosi murid, pengurangan tekanan ibu bapa dan pengurusan pergerakan murid yang lebih selamat. Secara keseluruhannya, S.A.M.P.A.I. Band berpotensi menjadi sistem pengambilan murid pintar yang praktikal, kos rendah dan sesuai diaplikasikan di sekolah rendah.