PS447: SPEKTRA (Speaker Corner Interaktif)

SITI NURQAIREEN BINTI RAMLI SK SAWAH BAHRU

Kajian ini bertujuan untuk menilai potensi penggunaan Speaker Corner Interaktif (SPEKTRA), iaitu inovasi ruang pembelajaran STEM mudah alih yang dibangunkan bagi meningkatkan minat, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri murid sekolah rendah. SPEKTRA dihasilkan dengan mengintegrasikan komponen kit STEM Discovery on Wheels seperti Food Delivery Robot, Rocket Launch Pad, Tractor, sistem hidraulik, mikropengawal, sensor, cetakan 3D dan Hydralift Panel yang boleh dinaikkan serta diturunkan. Inovasi ini dibangunkan bagi mengatasi keterbatasan Speaker Corner konvensional yang bersifat statik, kurang interaktif dan sukar digunakan secara fleksibel dalam pelbagai aktiviti pembelajaran. Melalui reka bentuk mudah alih dan penggunaan bahan kitar semula, SPEKTRA membolehkan aktiviti pembelajaran dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif dan berpusatkan murid. Inovasi ini berpotensi menggalakkan penglibatan aktif murid melalui aktiviti Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) seperti kuiz, bercerita, pembentangan, perkongsian ilmu dan pentaksiran. Selain itu, proses mereka bentuk, mengubah suai, menguji dan menyelesaikan masalah menggunakan komponen STEM dapat memupuk kreativiti, pemikiran kritis serta kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar. Kesimpulannya, SPEKTRA berpotensi mentransformasikan Speaker Corner konvensional kepada platform pembelajaran yang lebih dinamik dengan menggabungkan elemen komunikasi, inovasi dan penerokaan STEM dalam persekitaran pembelajaran sekolah rendah.

Kata kunci: SPEKTRA, Speaker Corner Interaktif, STEM, komunikasi murid, pembelajaran mudah alih, kelestarian