MUHAMMAD AIMAN BIN AMIL HUSSIN SJKT MASAI
Projek inovasi ini dikenali sebagai Zero Waste Wash, yang merupakan hasil usaha dan kreativiti Murid
Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) PPKI SJK(T) Masai. Inovasi ini bertujuan menangani isu pembaziran air
bersih yang sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak semasa menjalankan rutin harian seperti mandi dan
memberus gigi. Ketidaksedaran tentang penggunaan air secara berlebihan serta ketiadaan kawalan masa
menyumbang kepada pembaziran air domestik. Zero Waste Wash menggalakkan pembentukan visual dan rutin
terancang yang sesuai untuk MBPK kerana petunjuk visual lebih mudah difahami dan diulang (Kementerian
Pendidikan Malaysia, 2023). Objektif utama inovasi ini ialah membantu MBPK membina rutin penggunaan air yang
terancang dan efisien melalui alat penentu masa yang direka khas. Alat ini dihasilkan menggunakan botol plastik
terpakai bersaiz kecil yang diisi air berwarna dan indikator masa bertingkat (2–5 minit). Contohnya, “30 saat
pertama guna air untuk basuh badan” dan “30 saat kedua guna sabun”. Aliran air berwarna berperingkat ini
menjadi elemen terapi visual yang efektif, membantu MBPK dari segi pemulihan emosi serta persediaan
menghadapi cabaran kehidupan harian (Mansor et al., 2021). Sebagai penambahbaikan, pendekatan digital
diterapkan melalui Cabaran 21 Hari Jimat Air menggunakan kod QR yang membolehkan pengguna merekod
aktiviti harian dan memperoleh ganjaran seperti sijil. Cabaran ini disertai jadual pemantauan bertema dengan ayat
peneguhan tingkah laku secara interaktif, bagi meningkatkan motivasi dan konsistensi pengguna. Inovasi ini
memberi impak besar terhadap pembentukan disiplin kendiri, kesedaran alam sekitar serta kemahiran hidup
MBPK. Ia juga membuka peluang keusahawanan murid melalui pameran dan jualan produk sekolah. Zero Waste
Wash berpotensi dikomersialkan sebagai alat pendidikan yang murah, mudah dan berkesan (UNESCO, 2022)