NUR HANIFA MAISARA BINTI MOHD HANAPI SK CHANGKAT TIN
TAMAN EKO 3R
Taman Eko 3R merupakan inovasi pendidikan berkonsepkan Kebun Dalam Taman yang mengintegrasikan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lestari, ceria dan mesra alam. Projek ini dilaksanakan secara inklusif dengan melibatkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) dan murid Aliran Perdana. Inovasi ini berperanan sebagai medium pembelajaran secara hands-on yang menyokong Pengajaran dan Pembelajaran (PdPc) bagi subjek Kemahiran Hidup Asas PPKI (Tanaman dan Masakan), Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Sains bagi Aliran Perdana. Melalui aktiviti perkebunan, penggunaan bahan kitar semula dan penghasilan produk inovatif, murid berpeluang mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran dalam situasi sebenar. Projek ini turut membantu meningkatkan kemahiran motor halus dan kasar, sosioemosi, keyakinan diri serta semangat kerjasama, khususnya dalam kalangan MBPK. Selain menjadikan pembelajaran lebih bermakna dan menyeronokkan, Taman Eko 3R memupuk kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar, kreativiti, inovasi dan amalan kelestarian. Secara keseluruhannya, projek ini berpotensi menjadi model pembelajaran inklusif yang menggabungkan pendidikan, kelestarian alam sekitar dan pembangunan potensi murid secara holistik.