PS520: FRACLAB: Bina, Lihat, Faham!

MUHAMMAD HAZIQ DAIYAN BIN SHAFRIZAN SK SEMERAH PADI

INEX26 | Primary School

CR: 0.0000 | 0 Likes | 11 Views | 11 times | LS: 11.0
Like it? | Support them now!

FRACLAB merupakan aplikasi web berasaskan jalur pecahan interaktif yang dibangunkan untuk membantu murid sekolah rendah memahami hubungan antara pecahan tidak wajar dengan nombor bercampur. Inovasi ini tercetus daripada masalah murid yang mampu menggunakan rumus penukaran pecahan tetapi sukar memahami bagaimana jawapan terbentuk. Melalui pendekatan Bina, Lihat dan Faham, murid dapat memvisualisasikan nilai pecahan, menggabungkan bahagian pecahan untuk membentuk satu keseluruhan serta menghubungkan model visual dengan simbol matematik. FRACLAB menawarkan fungsi penukaran dua arah, pilihan bahasa Melayu dan Inggeris, pengisian jalur secara manual atau pantas serta latihan dengan maklum balas segera. Aplikasi ini boleh diakses melalui pelayar web pada pelbagai peranti tanpa memerlukan pemasangan.

Keberkesanan awal FRACLAB dinilai melalui kajian rintis yang melibatkan lima murid Tahun 4 berpencapaian rendah. Murid menjalani ujian sebelum yang mengandungi sepuluh soalan, diikuti aktiviti FRACLAB selama 30 minit dalam dua sesi sebelum menduduki ujian selepas menggunakan sepuluh soalan setara. Dapatan menunjukkan purata skor meningkat daripada 4% kepada 78%, iaitu peningkatan sebanyak 74 mata peratusan, dengan kesemua murid mencatat peningkatan. Dapatan awal ini menunjukkan potensi FRACLAB sebagai bahan sokongan pembelajaran pecahan secara visual, khususnya bagi murid berpencapaian rendah. Walau bagaimanapun, pengujian melibatkan lebih ramai murid diperlukan bagi mengukuhkan dapatan kajian.